Rabu, 14 April 2010

mencari cinta

Cinta? Apa sebenarnya cinta itu. Adakah kerana cinta perlu dikorbankan semuanya. Seringkali insan itu menilai cinta dengan berpandukan nafsu, tanpa mengira baik atau buruk dilakukan juga hanya kerana satu ungkapan iaitu cinta. Sedar tidak sedar diri terhumban kelembah yang cukup jijik untuk diduduki. Kehinaan menjalari disetiap kehidupan, tiada lagi pandangan kasih, yang ada hanya pandangan sinis menunjukkan rasa tidak senang hati. Cinta sejati mesti dicari, tapi dimana? Aku tidak mahu lagi terjebak dengan cinta yang merosakkan diri dan hatiku. Hanya satu cinta yang boleh membawa aku kebahagiaan dan ketenangan. Namun hingga kini aku masih keliru dan sangsi malah aku kebingungan dengan nilaian cinta yang kucari tapi tidak ditemui. Haruskah aku memilih antara cinta-cinta yang ada didunia ini atau aku hanya perlu menyintai semuanya? Entahlah..

Setiap hari aku memikirkan perkara ini, semalam aku bermimpi tentang seseorang yang ingin memberikan cintanya padaku, tapi aku menolaknya. Apa makna mimpi itu, adakah mimpi itu memberi tanda bahawa aku tidak boleh menerima cinta pada masa sekarang. Tapi aku memerlukan cinta untuk meneruskan hidup ini, hidup ini terasa amat sunyi tanpa cinta. Lalu bagaimana harus aku mencari cinta sedangkan aku masih dalam belengu kekeliruan, aku takut aku tersalah jalan, tarsalah tingkah dalam menyatakan cinta ku. Aku pernah bertanya pada diriku, adakah aku cinta pada orang yang berada disekelilingku. Jawapannya ya! Aku memang sayang dan cinta pada mereka. Tapi apa yang aku cari mengenai cinta adalah cinta yang lain dari yang lain, apakah cinta itu boleh menjadi milikku atau sebaliknya aku tidak tahu. Apapun akan kuteruskan mencari cinta yang boleh membawa aku pada ketenangan hati dan jiwa.

Hari ini aku mengunjungi rumah Allah untuk berbuka puasa. Sudah menjadi rutin kehidupanku untuk berpuasa sunat isnin dan khamis. Masjid ditempat aku menyediakan juadah berbuka, semuanya kerana usaha beberapa orang insane yang begitu prihatin akan kepentingan puasa sunat isnin dan khamis. Selepas berbuka aku mengadap Allah dengan penuh ketenangan, syukur dengan pemberian rezeki yang melimpah ruah. Kemudian surah yassin dialunkan bersama-sama. Hari ini pengunjung rumah Allah tidak begitu ramai mungkin mereka yang lain sibuk dengan urusan keduniaan. Seusai solat isyak dan mengaminkan doa aku bersalaman dengan makmun yang lain dan melangkah kaki meninggalkan rumah Allah itu untuk pulang kerumah.

Cintaku pada Allah telah terluah dengan sujud padanya. Cuma satu yang aku gagal lakukan iaitu untuk khusyuk sepenuhnya semasa mengadap Allah. Entah mengapa hadir lagi persoalan cinta ketika mengadap Allah. Macam-macam andaian timbul mengenai cinta. Bayangan demi bayangan muncul dibenak fikiranku sehingga aku gagal mengawal hatiku. Kenangan lalu muncul dengan pelbagai warna. Ada senyuman dan tangisan, aku merenung kembali hidupku yang lalu. Cukup segalanya, aku rasakan tiada yang kurang dalam hidupku, mungkin juga aku kekurangan kasih sayang sehingga aku rasa kesunyian.

Dengan kesunyian yang yang bertamu dilubuk jiwaku aku menjadi tidak keruan, banyak waktu yang hilang dek kerana terlalu banyak khayalan mengenai cinta. Cita-citaku yang masih malap dipandangan aku tinggalkan kerana aku begitu mengambil berat tentang cinta yang aku cari. Masih belum ketemu! Bagaimana harus aku lakukan, perlukah aku teruskan pencarian tentang cinta atau aku hanya perlu tunggu dan lihat. Ah! Mana boleh menunggu bulan jatuh keriba, aku harus berusaha mendapatkannya. Tapi bagaimana? Aku hanya seorang muslimah, bukan muslimin. Muslimah dipenuhi dengan rasa malu. Hanya doa yang mampu kupohon moga cinta yang kucari bukan cinta palsu yang memusnahkan diriku sendiri nanti. Sukarnya mencari cinta sejati yang menyinta dan dicintai hanya kerana Allah yang satu. Aku tidak ingin menyinta orang yang tidak cintakan Allah. Biar cinta yang semai hanya kerana Allah semata. Aku tak mahu nafsu cinta dimiliki oleh nafsu lawwamah, biar nafsu mutmainnah yang memandu cintaku nanti.

Aku mengunjungi sebuah gedung pasaraya dengan tujuan untuk membeli keperluan. Sambil berlegar-legar diruangan makanan aku melihat gelagat manusia yang membeli , ada yang penuh satu raga membeli makanan, tak taulah stok untuk berapa hari?! Aku pula memilih untuk membeli biskut, roti dan sedikit makanan ringan yang lain. Cukuplah untuk seminggu. Aku sebenarnya bukan seorang yang suka kebandar merayau rayau, kadang tu sebulan sekali baru aku turun. Makan pun aku beli je kat kafe..nak masak aku bukannya ada periuk lagipun undang-undang kolej tidak membenarkan pelajarnya untuk memasak. Tapi ada juga suatu waktu dahulu aku curi-curi masak, itupun bukan periuk aku, kawan serumah yang bawa dari rumah, apalagi aku join sekali la. Lupa seketika tentang cinta yang aku cari. Aku teruskan kehidupan dengan penuh pengisian yang kadangkala memenatkan namun menyimpan ribuan makna untuk aku cari ertinya dengan berpandukan ilmu yang aku miliki. Aku tahu aku bukan seorang yang matang dalam menilai sesuatu namun aku tahu sesuatu perkara itu bernilai atau tidak kerana nilai itu yang akan membawa aku kedaerah kehidupan yang membahagiakan dan kematangan itu bukan dinilai pada sikap semata-mata, banyak segi perlu dilihat untuk melihat kematangan

Hari-hari yang berlaku mengingatkan aku memori yang sukar untuk kulupuskan. Aku pernah jatuh cinta, namun lantaran kepolosan aku dalam menilai cinta, cinta yang hadir terus terbang dibawa angin lalu seperti debu-debu dijalanan sepi. Tetapi setelah sekian lama, baru aku sedar cinta itu masih bertapak disudut hatiku. Sememangnya aku cuba untuk melupuskannya tapi tiap kalinya nama dan wajah insane itu hadir dalam bayangan hayalanku. Malah ingin sekali kumasukkan wajah itu kedalam mimpi-mimpiku. Lalu aku menangis sendiri kerana aku tidak mampu untuk memiliki cinta insane itu, makin kucuba halau rasa hatiku yang tidak keruan, rasa cinta itu makin mekar didalam hatiku. Aku kembali melihat diriku, arah tujuanku, matlamatku, impianku, kenapa harus kuikutkan rasa hati yang tidak menjamin apa-apa keuntungan sedangkan aku masih mempinyai banyak tanggungjawab yang perlu aku selesaikan. Tidak kira apa yang kulakukan pastinya aku lakukan berpandukan petunjuk yang kupinta tiap kali usai solat. Pertolongan dariNya amat diperlukan lalu tangan ditadahkan, doa dipohon, dengan penuh rasa hiba dihati moga kemapunan yang dilampirkan buat insane lemah sepertiku yang sering alpa dengan kehidupan dunia yang bersimpang siur antara benar dan salah.

Hari ini kujejakkan kaki kegedung ilmu yang penuh dengan pelbagai ramuan santapan naluri dan minda. Perpustakaan! Ya tempat ini yang boleh melapangkan hatiku selain masjid yang kukunjungi setiap minggu untuk berbuka puasa. Masa kuhabiskan dengan memerhati gelagat manusia yang bermacam ragam penuh tipudaya dunia namun ada juga yang begitu asyik dan leka dengan buku-buku yang bertimbun, seolah ingin mendakap semua ilmu yang ada dalam dakapan kemanusiaan. Sesekali ada sahabar dan rakan taulan menegurku dan kami bicara tentang pelbagai isu dan pastinya ada terselit umpatan yang menyeronokkan untuk diperkatakan. Astaghfirullah ! aku terlupa sebentar dimana aku berada, betapa aku terlalu cepat lupa akan sesuatu. Aku kembali mengingatiNya, mohon keampunan diatas segala dosa yang dilakukan tanpa sedar. Ya ! kadang fatamorgana itu amat pandai menipu daya sehingga diriku hanyut dibawa arus kealpaan yang dicipta sendiri melalui gelak tawa yang melalaikan.

Perjalanan waktu itu amat pantas berlalu, tidak terkejar olehku dalam melangkah kaki mengharungi hidup ini. Sesekali aku terlepas waktu itu tanpa disedari olehku. Betapa ruginya aku dalam mencapai kebenaran hidup yang mendambakan kekuatan rohani dan jasmani. Tanpa kekuatan jiwa dan minda sudah pasti aku tewas oleh ujian dan dugaan yang datang mencampuri urusan hidupku. Ya! Kadang dugaan itu datang tanpa diundang, lantas membuatkan aku terpaksa menerimanya sebagai tamu yang memerlukan perhatian dan layanan yang cukup membuatkan aku terpaksa melupakan seketika hal-hal yang lain. Jika aku tidak melayannya sudah pasti aku akan menerima pelbagai dugaan lain yang datang bertimpa-timpa. Lalu aku pasrah walau aku terpaksa melenakan diri dalam deraian air mata yang tidak ingin berhenti dan terus-terusan turun yang akhirnya membanjiri seluruh hidupku. Tiada lagi tawa riang, namun senyuman tidak pernah hilang. Biar apa yang ada dalam naluriku ini menjadi rahsia hatiku sendiri. Tidak perlu aku tonjolkan dan mempersembahkan sebuah sandiwara untuk meminta belas kasihan. Biarlah aku menjadi seorang pelakon yang begitu mahir melakonkan watak yang penuh ceria sedangkan hakikatnya keceriaan itu bohong semuanya.

Aku membawa diriku untuk menziarahi sahabat yang dikasihi, aku bawa bersamaku buah tangan berupa hati yang penuh pengertian. Kudengar sahabatku dilanda kemarau panjang sehingga dirinya mengalami demam yang tidak membimbangkan. Hanya doa kusedekahkan buatnya moga dirinya dilindungi dan moga Tuhan meringankan beban yang ditanggungnya lantaran terlalu sibuk menguruskan perjalanan dunia sehingga lupa ada badan yang perlukan perhatian, ada naluri yang perlukan santapan dan ada akal yang perlukan pengisian. Bicara yang kuluahkan padanya hanyalah kata-kata dorongan bagi memberi semangat untuk terus berjuang dilandasan yang telah dipilih. Ada ramai sahabat lain yang turut memperlihatkan diri, masing-masing menyatakan rasa sedih dan mengharapkan penderitaan yang dialami oleh sahabat tadi berkurangan. Kami turut berbincang bagaimana untuk membantu sahabat yang sakit demam ini. Keputusan dicapai kami akan mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Tuhan. Hanya itu yang mampu kulakukan untuk seorang sahabat bagi menyatakan kasih sayang dan pengertian buat dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan